Friday, August 29, 2008

Merdeka! Diri anda dengan menjalani ibadah puasa.


Merdeka! Diri anda dengan menjalani ibadah puasa.


Selalunya aku bermula dengan alkisah, namun pasal merdeka aku amat serius.
kelmarin banyak masjid berkhutbah mengenai hal-hal berkaitan puasa.

Khatib di sebuah masjid di tempat aku menceritakan mengenai perlunya kita membuat persediaan untuk menghadapi ibadah puasa.

Katanya, apabila nak sambut raya kita sudah membuat persediaan begitu awal jadi adalah lebih baik kita membuat persediaan untuk menyambut puasa lebih dari raya.

Raya cuma sehari sedangkan ibadah puasa adalah sebulan!Bulan Ramadhan adalah bulan bonus untuk kita sekiranya kita bijak mengambil peluang. Itulah perlunya persediaan dalam menyambut bulan Ramadhan.

Orang yang pandai dan bijak mengambil peluang dalam bulan ramadhan akan mendapat berbagai bonus yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

Itulah kelebihan yang kita tak nampak kerana kita terlalu memfokuskan perihal raya yang cuma sehari!

Kita perlu tahu bahawa bonus dan kelebihan yang diberi perlu diusahakan terlebih dahulu untuk mendapatkannya.

Apakah kita akan melepaskan ganjaran bonus yang betul-betul dijanjikan dengan melayari bulan puasa seperti hari-hari biasa sebelum ini?

Di media sudahpun menyiarkan berbagai tawaran dan diskaun hari raya sedangkan puasa belumpun bermula!.

Begitu juga kelihatan banner dan kain pemidang iklan sudahpun digantung di kedai-kedai.
Bukan sahaja kedai orang Islam malah kedai milik bukan islam juga!Semuanya sudah bersedia awal untuk mengaut keuntungan. Tak mahukah kita merebut keuntungan ibadah dalam bulan ramadhan ini?

Ketika nak sambut hari raya kita sudah mula nak tukar baju baru,perabut baru,membuat kuih raya dan menghiasi rumah kita .

Namun apakah persediaan kita sebagai orang islam untuk mengaut "keuntungan" dan bonus dalam bulan puasa ini?


Antara yang disebut oleh khatib di masjid kelmarin ialah:-

1. Persediaan jasmani- Diri kita perlu dibentuk dan dilatih sebelum menjalani bulan puasa.
Alangkah eloknya kita mempersiapkan tubuh badan kita agar kita tidak mengalami kesulitan
dalam menempuh ibadah tersebut.Latihlah diri kita dalam menghadapi bulan ramadhan.
Contohnya,
-bersarapan awal pagi dengan makanan berkhasiat (lebih elok pada waktu subuh )
-makan ala kadar pada waktu tengah hari ,jangan makan telalu banyak pada waktu ini.
-makan secara sedarhana pada waktu malam.
Tukarlah jasmani kita dengan amalan permakanan yang baik dan tubuh badan
yang bersih dan sihat.


2. Persediaan mental- Latih diri dengan tidak membuat atau memikirkan perkara yang
dilarang mahupun yang makruh. Janganlah bercakap perkara yang tidak berfaedah dan
membuat fitnah.
Membuat sesuatu dengan amanah dan displinkan akal kita.Perlu juga berfikiran positif
dengan azam untuk membuat ibadah puasa dengan lebih baik untuk tahun ini.
Tukarlah persepsi minda kita dengan pemikiran positif yang baik.
3. Persediaan rohani-Mulakan membuat ibadah sunat dengan lebih awal seperti membaca al
Quran.
Kerap berjemaah dan bertahajud. Anjakkan jam penggera agar bangun lebih awal sebelum
waktu subuh. Dekatkan diri dengan masjid dan majlis ilmu.
Hiasilah rohani kita dengan jiwa yang baru dan islamik.


Dilihat kesemua persediaan ini tak langsung mengeluarkan modal malahan menjimatkan kos perbelanjaan kita.


Persediaan awal ini boleh kita lakukan terus menerus hinggalah bertemu pula ramadhan seterusnya.

Oleh itu merdekakan fizikal,mental dan rohani kita bila sebelum tiba bulan ramadhan al mubarak.Itulah kemerdekaan kita sebagai orang Islam.



Kemerdekaan bukanlah bermaksud "bebas" tetapi kemerdekaan dalam erti kata adalah menjalankan segala tanggung jawab kita sebagai umat islam disamping menambahkan lagi usaha kita dalam menjalankan tanggung jawab tersebut dengan tawaduk dan sepenuh hati.

Kita perlu membelenggu diri kita sepenuhnya dalam mengabdikan diri dengan Pencipta kita.

Bukanlah kemerdekaan itu menjauhi dan tidak melakukan apa yang wajib atas diri kita.

Kemerdekaan bukanlah "kebebasan"! Kemerdekaan itu adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh kita dan kita menjalankan tanggung jawab itu sepenuh hati.



Merdeka!

No comments: